- Back to Home »
- Entertainment , Local Malaysia , Youngsters »
- Rozita Che Wan, Zain Saidin terus nikah
Posted by : Jobseekers
Jumaat, 1 Mac 2013
Pelakon popular, Rozita Che Wan, 42, dia dan Zain Saidin tidak akan bertunang, sebaliknya terus berkahwin kerana kedua-duanya sudah saling mengenali.
Begitupun, kata wanita jelita ini, Zain, 29, bakal menghantar rombongan merisik dan jika diizinkan Tuhan, mereka berhasrat untuk diijabkabulkan pada tahun ini juga.
“Saya pun sekarang sibuk dengan penggambaran sampailah Julai nanti. Mana mungkin saya ada masa nak buat majlis kahwin dalam masa terdekat?
“Saya sibuk dengan rakaman Primadona, MasterChef dan selepas itu percutian bersama keluarga ke San Francisco,” katanya ketika ditemui pada sidang media ketiga Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 di Subang Jaya, kelmarin.
Pada majlis gilang-gemilang bertemakan Ledakan Geometri itu nanti, Rozita akan naik ke pentas sebagai penyampai trofi bersama ramai lagi nama popular di arena seni tanah air.
Ditanya mengenai majlis perkahwinannya, Rozita berkata, dia tidak terlalu memikirkan acara persandingan kerana paling penting buatnya ialah akad nikah serta kehidupan selepas bergelar suami isteri. Apatah lagi ia perkahwinan kedua buat wanita ini.
“Saya tak memerlukan pelamin harga berjuta-juta, sederhana saja sudah cukup. Tengoklah bagaimana nanti.
“Kalau soal kahwin ini agak sulit, mungkin saya akan mengambil cuti yang lama untuk menguruskannya. Begitupun buat masa ini saya tak rasa perlu berbuat begitu,” tambahnya yang merancang untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak bersama Zain.
Diasak pertanyaan wakil media, Rozita berulang kali menegaskan, persiapan perkahwinan belum dimulakan lagi.
“Untuk menjawab semua persoalan itu, nanti saya akan adakan sebuah majlis khas bagi mengumumkan tarikh perkahwinan kami. Jadi, janganlah risau,” katanya sambil menganggap, berita kononnya dia akan bernikah pada Julai ini hanyalah hasil salah faham.