Posted by : Jobseekers Khamis, 1 November 2012



SUDAH lama kelibat Aeril Zafrel tidak kelihatan di kaca televisyen mahupun di layar perak. Setelah mengejutkan dunia hiburan tanah air beberapa bulan yang lalu dengan mengambil keputusan untuk berhijrah dan mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Indonesia, anak jati kelahiran Kluang, Johor ini seakan-akan menyepikan diri daripada dunia lakonan.

Tidak dinafikan, jejaka kacak ini amat berbakat dalam bidang lakonan. Bakatnya mula digilap oleh pengarah terkenal, Aziz M. Osman menerusi drama bersiri pertama lakonannya, Kisah Kaisara.

Selepas itu, dia mula mencipta nama melalui beberapa buah filem termasuklah Aku Tak Bodoh, Cinta Kura Kura dan 7 Petala Cinta.

Bagaimanapun, setelah mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengurangkan aktiviti seninya, Aeril ternyata lebih tenang dan senang dengan keputusan yang diambil.

Terbaharu, ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Budak Pailang di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini, Aeril selaku tunjang utama filem tersebut berkongsi serba sedikit pengalamannya mendalami ilmu agama ketika berada di Indonesia.

Soal kematian

"Saya percaya, setiap orang inginkan perubahan dan saya juga tidak terkecuali. Ketika itu, entah mengapa saya sering memikirkan soal kematian. Setiap hari, pasti perkara itu datang dan bermain-main dalam fikiran.

"Terpanggil dengan persoalan tersebut, saya mengambil keputusan untuk terbang ke Indonesia bersama-sama seorang rakan dan mendalami ilmu agama di sana," jelasnya yang bagaimanapun memohon untuk tidak memperincikan tentang nama dan lokasi sekolah pondok tempatnya menimba ilmu keagamaan itu.

Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Senja Permai ini turut memberitahu, tujuannya mendalami ilmu agama di Indonesia bukan semata-mata untuk berubah secara total, tetapi bermatlamat mengenal jati diri serta mempelajari sesuatu yang baharu.

"Terus terang saya katakan, tujuan saya berhijrah adalah untuk diri saya sendiri. Saya mendalami ilmu agama bukan kerana mahu dipandang mulia oleh orang lain. Saya ke sana atas dasar ingin berubah dan mahu memperbaiki diri.

"Setelah melalui proses penghijrahan, saya sering melakukan istiqamah dan bermuhasabah diri. Alhamdulillah, ia membuatkan saya lebih tenang," ujarnya.

Jelas jejaka ini lagi, dia memilih Indonesia sebagai tempat untuk mendalami ilmu agama kerana di sana bebas daripada sebarang gangguan dan membolehkan dirinya mampu untuk fokus terhadap ilmu-ilmu baharu ketika berada di sana.

"Saya bukan tidak mahu belajar ilmu agama di Malaysia. Saya yakin, ramai guru-guru agama tempatan yang mampu serta berkebolehan untuk membantu saya.

"Bagaimanapun, saya akui berasa sangat tenang ketika berada di Indonesia. Jadi, saya dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap ilmu-ilmu baharu tanpa sebarang gangguan," ujarnya.

Aktiviti seni

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Aeril memberitahu, dia terpaksa menghentikan aktiviti seninya buat sementara waktu kerana tidak mahu ia bercanggah dengan apa yang sedang dia lakukan sekarang.

Walau bagaimanapun, tambahnya, dia masih mahu berlakon dan dalam masa yang sama berdakwah serta menyampaikan mesej-mesej positif kepada para peminatnya.

"Saya akui lakonan adalah cabang seni yang paling saya minati. Peminat juga mengenali saya menerusi bidang lakonan. Justeru, tipulah jika saya katakan saya tidak rindu untuk kembali berlakon.


FIGURA kacak ini memilih untuk tidak melatah dalam memberikan reaksi terhadap segala kontroversi dan gosip liar yang melanda dirinya.

"Buat masa sekarang, saya masih dalam tempoh 'berehat'. Saya pasti akan berlakon semula jika watak dan filem yang ditawarkan bersesuaian dengan personaliti saya sekarang," katanya.

Isu 'adik-adik'

Pelakon muda ini juga tidak pernah sunyi dengan kontroversi dan gosip liar. Sebelum ini, dia pernah dikaitkan dengan isu hubungan sesama jenis dan terbaharu, dia telah dituduh menghadiri sebuah majlis yang dikatakan dianjurkan oleh golongan 'adik-adik' (lelaki lembut).

Menurut Aeril, dia agak bosan kerana sering dikatakan terlibat dan dikaitkan dengan golongan tersebut.

"Bagi saya, bukan senang untuk memuaskan hati setiap orang. Ada sahaja perkara-perkara negatif mengenai diri saya dicanang dari mulut ke mulut.

"Mungkin ada pihak yang tidak senang duduk melihat perubahan yang berlaku ke atas diri saya dan mula mereka-reka cerita yang tidak benar. Saya kadangkala agak rimas dengan tohmahan yang dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Bagaimanapun sebagai seorang artis, saya harus bersikap profesional. Jalan yang paling selamat adalah mendiamkan diri dan buat tidak tahu sahaja.

"Lama-kelamaan orang akan berhenti bercakap mengenainya. Saya juga percaya, kawan-kawan rapat dan keluarga saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya. Itu yang paling penting," tegasnya.

Jodoh

Bagi figura berusia 24 tahun ini, dia tidak gemar untuk berkongsi kisah peribadinya dengan orang ramai, lebih-lebih lagi soal berumah tangga.

Bagaimanapun akui Ariel, jika ditakdirkan bertemu jodoh suatu hari nanti, dia mengharapkan agar wanita itu kuat pegangan agamanya serta pandai menghormati orang tua.

"Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai teman yang istimewa. Bagi saya, jika ditemukan jodoh, biarlah dengan wanita solehah yang pandai menjaga diri dan lengkap pegangan agamanya," kata Aeril mengakhiri bicara.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -