- Back to Home »
- Local Malaysia »
- Zizan Bakal Sertai Stesen Radio Era FM
Posted by : Jobseekers
Rabu, 12 September 2012
KUALA LUMPUR – Selepas pelakon filem Ombak Rindu, Aaron Aziz menyertai radio Era FM untuk segmen Doktor Cinta, pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak (gambar) pula bakal menghangatkan lagi radio nombor satu negara itu.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran kepada Kosmo! semalam, namun perbincangan dengan Zizan masih berjalan dan pihaknya masih mencari slot yang sesuai supaya tidak bertindih dengan waktu kerja pelakon filem Mael Lambong itu.
“Perancangan untuk ambil Zizan sebagai penyampai jemputan seperti Aaron memang ada tetapi masih dalam perbincangan. Kami belum putuskan dia akan masuk mana-mana slot lagi,” ujarnya.
Menurut Nazri, apa yang pasti Zizan tidak akan digandingkan dengan Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz yang ketika ini merupakan salah seorang penyampai Era FM.
“Zizan tidak akan bergabung dengan Johan sebagai Jozan tetapi akan bersama mana-mana penyampai lain untuk satu slot yang berbeza,” ujarnya.
Bermula Jumaat ini, Aaron akan ke udara di Era FM setiap minggu bermula pukul 9 malam hingga 11 malam di slot Meletop 40 Era bersama DJ Shac.
Pada slot tersebut, Aaron akan menjadi doktor cinta untuk menyelesaikan masalah cinta pendengar radio berkenaan.
Johan pula akan ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi bersama dua lagi penyampai lain iaitu Ray dan Haniff.
Sementara itu, Zizan ketika ditanya mengenai penyertaannya bersama radio Era menganggap perkara itu sebagai peluang baru bagi mengembangkan kerjayanya.
“Kami masih berbincang dan saya tengah mempertimbangkan tawaran berkenaan, lagi pun saya kena cari waktu yang sesuai supaya tidak bertindih dengan jadual lakonan saya,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya semalam.
Tambahnya, dia sebelum ini selalu mendengar keletah rakannya, Johan di radio berkenaan dan beranggapan ia adalah satu perkara yang sukar dilakukan.
“Kalau saya ke udara nanti, ia mungkin seminggu sekali sahaja seperti Aaron tetapi tidak tahu lagi hendak jadi doktor apa,” jelasnya. – Kosmo Online