Posted by : Jobseekers Isnin, 23 Julai 2012



Nama: Prevé

Sebutan bagi model baru Proton ini ialah Prevé (prae-vae) walaupun pada asalnya sebutan dianggap sebagai (preef). Dalam sebutan bahasa Inggeris “to prove”,  ia bermaksud untuk atau mahu membuktikan dan Proton mempunyai banyak perkara untuk dibuktikan selepas diragui selama 25 tahun. Walaupun penamaan model ini disebut Prevé, Proton masih mahu mengekalkan asal-usul nama model ini daripada perkataan Bahasa Inggeris tersebut.

Di Mana Kedudukan Proton Prevé :

Menurut khabar angin sebelum ini, Proton Prevé yang dibangunkan merupakan model gantian Proton Persona. Tanggapan itu adalah benar bagi sesetengah market, dan bagi market Malaysia, Persona berspesifikasi B-Line masih lagi dikekalkan. Spesifikasi M-Line dan H-Line akan dihentikan untuk memberikan jarak yang selesa untuk kedua-dua model.

Strategi Proton ini menjadikan kedudukan proton Prevé ini di antara Proton Persona dan juga Proton Inspira dalam susunan model mereka. Untuk terus memisahkan perbezaan antara model Prevé RM75k, model variasi Inspira 1.8 juga akan dihentikan. Berita baiknya, terdapat model dalam perancangan iaitu model Inspira 2.0 Manual.

Apa yang anda patut jangkakan dari Proton Prevé:

Dari pengumuman awal, Proton akan menawarkan model Prevé dalam 3 variasi. Harga pula bermula kira-kira RM62k untuk B-Line 1.6 Liter manual, sehingga kepada model spesifikasi terbaik turbocharged CVT pada harga RM75k. Di antara kedua model ini, model biasa CVT dianggarkan pada harga RM65k. Tempahan awal setakat ini menunjukkan model RM75k telah mendominasi tempahan lebih 70%  daripada keseluruhan tempahan.

Melalui model yang dijangka untuk target pasaran 20-an hingga 40-an ini, Prevé merangkumi rekabentuk, keselesaan, keselamatan, pengendalian, kualiti dan prestasi enjin. Dari segi keselesaaan, Prevé mempunyai kabin yang cukup besar untuk kelasnya (segmen C, sama dengan Toyota Altis, Ford Focus, Honda Civic dan Kia Forte).  Ruang kaki belakang juga adalah yang terbesar di dalam kelasnya (815mm) dan ini terbukti di dalam sesi panduji di mana penumpang belakang cukup selesa. Malah, terasa seperti menaiki sebuah limosin.

Ruang meletakkan barang bagi model ini juga adalah antara yang terluas, 508-liter. Ini mungkin kerana pilihan Proton untuk menggunakan tayar simpanan yang kecil (space saver) bagi memaksimumkan ruang but. Kami berpendapat ini ialah satu pilihan bijak kerana tayar space saver lebih ringan dan ini membantu untuk menjimatkan minyak. Fungsi BCM (Body Control Module) yang diperkenalkan dalam Exora juga diperkenalkan untuk model ini. LCD yang besar diberikan di antara tolok tachometer dan speedometer, sistem ini dipanggil Smart Info Display(SID).

Selain dari itu, kabin dalam menawarkan ciri-ciri seperti Push/start button (kunci masih perlu dicucuk ke dalam lubangnya, namun kunci Prevé sekarang mirip kepada kunci Kia Forte atau Volkswagen, dengan flip blade dan buatan yang kemas).  Paddle shifters untuk menggunakan mod transmisi manual 7-kelajuan. Kerusi dengan fabrik kalis air (seperti pada Honda Jazz atau Accord 2-liter).  Tingkap Kuasa dengan funsgi anti-trap – Fungsi auto-fold untuk cermin sisi sensor hujan untuk wiper – But boleh dibuka ala remote menggunakan kunci. Fungsi auto untuk lampu besar dan fungsi Follow-me-Home. Ruang tempat letak barang yang banyak dan empat tempat menggantung barang (dua coat hanger, satu curry hook di tepi glovebox depan dan satu cangkuk pada batang headrest kerusi penumpang di hadapan).

Terdapat perkara lain yang menarik perhatian pada Prevé ini. Bermula dengan casis, ianya dibangunkan berdasarkan platform Exora yang telah diubah suai. Bahagian hadapan model ini diubah agar suspensinya lebih compliant dan lebih mantap. Untuk memberikan tindakbalas steering yang lebih baik, anti-roll bar telah ditukar saiznya agar ia “lembut”. Ini perlu supaya darjah steering boleh ditingkatkan dan tindakbalas dapat dirasakan oleh pemandu.

Beralih pula ke bahagian belakang, model ini tidak menggunakan suspensi torsion beam daripada Exora tetapi digantikan dengan suspensi multilink hasil rekaan Proton 100%. Ini merupakan kali pertama Proton menghasilkan suspensi belakangnya sendiri.  Sistem multilink rekaan Proton ini lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan sejauh 160km di atas lebuhraya dan jalan berliku menyaksikan kehebatan Prevé yang sebenarnya. Dengan stereng yang lebih memberikan bertindakbalas, ia mengambil selekoh dengan bersahaja. Pemanduan di atas lebuhraya tertutup membolehkan  pemanduan selaju 205km/j (mengikut GPS), dan Prevé dirasakan sungguh teguh. Tidak langsung membuai walaupun jalannya berombak dan angin lintang juga tidak begitu mengganggu model ini.

Di jalan berliku, menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTronic lebih mengujakan dari menggunakan paddle shifters. Turning-in cukup tajam bagi sebuah sedan keluarga dan ekornya stabil mengikut gerak stereng. Brek ketika sedang mengambil sekeloh juga tidak mengganggu keseimbangan Prevé.  Untuk yang memandu kenderaan dengan torsion beam, mesti pernah mengalami kejadian di mana ekor “melompat-lompat” ketika melanggar bonggol di dalam selekoh. Inilah kelebihan penggunaan suspensi multilink kerana ia tidak menghasilkan sebarang kekacauan langsung apabila mengambil selekoh yang tidak rata.

Cukup untuk kita katakan bahawa dari segi pengendalian atau ride and handling, sukar bagi jenama lain dari Jepun dan Korea untuk menandinginya. Proton sudah boleh diiletakkan sama tinggi dengan Ford di dalam aspek ini.  Untuk pemandu berpengalaman, sistem brek sama pentingnya dengan kebolehan ride and handling. Sistem brek Prevé menggunakan hardware TRW, tetapi sensor dan software untuk ABS dan ESP datang dari Bosch. Hasilnya ialah sistem brek yang linear dan progresif, yang mampu kami gunakan dalam situasi trail braking.

Untuk pengetahuan pembaca, Prevé mempunyai stopping distance (100-0kmh) yang paling dekat – 36.8m berbanding dengan model Kia Forte, Toyota Altis 2.0L, Honda Civic 1.8L dan Ford Focus. Kami cuba membuat brek mengejut di atas garisan lurus dari kelajuan 140km/j dan Prevé mampu berhenti tanpa gangguan dan dalam keadaan yang sangat stabil.

Seperti yang dikatakan, Prevé datang dengan sistem ESP atau Electronic Stability Control. Sebenarnya, Australia telah mewajibkan kesemua kenderaan baru perlu dilengkapi dengan sistem ESP dan oleh kerana Proton memang sudah bertapak di Australia, model Prevé perlu datang dengan ESP.  ESP ialah sistem elektronik yang mengawal stabiliti kenderaan ketika brek mengejut atau ketika tayar hilang cengkaman. Ia seperti pemandu mempunyai empat pedal brek kerana ESP mampu mengawal fungsi setiap brek dengan sendirinya. Cukup penting untuk keselamatan, ESP tidak terdapat dalam banyak model Jepun atau tempatan di bawah harga RM100,000.

Selaind ari ESP, sistem keselamatan lain yang terdapat pada Prevé ialah penggunaan teknology HotPress Forming dalam struktur kenderaan RESS (Reinforced Safety Structure), sistem ABS dengan ESP, brek belakang disk, empat beg udara (depan dan sisi), pre tensioner, active headrest, ISOFIX mounting (untuk kerusi bayi), lampu hazard auto (jika berhenti mengejut dalam kelajuan melebihi 96km/j) dan fungsi auto unlock (pintu akan unlock selepas berlaku pelanggaran). Prevé direka untuk mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh Australian NCAP, namun ujian rasmi oleh Australia NCAP belum dilakukan (khabarnya akan dilakukan dalam masa terdekat ini). Prevé juga sebenarnya boleh memuatkan enam beg udara, namun kos menjadi masalah untuk pasaran tempatan.

Seperti yang dijangka, Enjin Campro CFE yang diperkenalkan pada model Exora dijadikan enjin utama dan digandingkan secara ekslusif bersama CVT sepasang paddle shifters dengan 7-kelajuan. Apa yang sedikit mengejutkan, model variasi terendah akan mendapat enjin 108hp Campro IAFM+ daripada Saga FLX dan bukannya seperti yang dijangka iaitu 125hp CPS. Proton secara jujur mengakui terdapat pertimbangan dalam harga kos di sebalik keputusan ini dan merasakan enjin IAFM membolehkan mereka memberikan harga yang kompetitif pada masa yang sama memberikan pretasi yang bagus untuk model ini.

Untuk CFE, ia menghasilkan 103kW, sama seperti enjin 2.0L n/a tetapi CFE menghasilkan kadar tork yang lebih tinggi – 205Nm. Kami pada mulanya berharap agar prestasi Prevé lebih baik dari Exora Bold dengan enjin yang sama. Tetapi, dengan kadar refinement Prevé yang lebih tinggi, kami langsung tidak merasa “lonjakan tork” pada Prevé. Terasa perlahan tetapi bila speedometer dijeling, kelajuan sudah mencecah 140km/j dalam sekelip mata.

Model IAFM+ lebih sesuai untuk pemanduan santai. Bila ditekan, sistem CVT ProTronic membuatkan enjin meraung bising namun pada pendapat kami, prestasi enjin IAFm memadai. Malah, ia rasa lebih selesa dari model Saga FLX SE dengan enjin yang sama. Model IAFM+ juga datang dengan transmisi 5-kelajuan Getrag, dan ini akan menjadi model asas untuk Prevé. Kelajuan untuk model ini ialah dalam lingkungan 175km/j.

Menurut Proton, Prevé mencapai 100km/h dari pegun dalam masa 9.6 saat, jauh lebih pantas dari Civic, Altis, Forte dan Focus. Kelajuan maksimum ialah pada 205km/j dan penggunaan minyak pula ialah 8.2L/100km. Proton juga membuka lembaran baru dengan model Prevé ini. Malah, ciri-ciri pemasaran global turut digunakan, contohnya penamaan sistem transmisi ke ProTronic, pembinaan struktur keselamatan dalam badan RESS dan SID untuk paparan meter. Ini ialah antara gimik yang digunakan oleh syarikat kenderaan dunia lain dan kini Proton turut melangkah ka arah itu.

Kesimpulan:

Hasil dari pemanduan ini, Prevé boleh dikatakan hasil yang terbaik pernah dihasilkan Proton. Pemanduan dan pengendalian Prevé juga amat menakjubkan dan berkualiti tinggi.  Namun, perlu diingat bahawa dengan harga RM75k, seseorang tidak boleh mengharapkan kualiti sebaik Jerman. Prevé juga merupakan model Proton yang akan menjadi titik penting jatuh bangun Proton di masa hadapan. Model ini sekiranya dibuat dengan bersahaja tanpa ada spesifikasi sebegini, mungkin kita tidak akan ada lagi kereta sendiri di masa hadapan.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -