Posted by : Jobseekers Isnin, 6 Ogos 2012


Bila tiba saja musim perayaan, antara berita yang sering kita dengari ialah berkenaan tragedi kemalangan jalan raya. Setiap pengguna jalan raya sama ada yang memandu kereta, menunggang motosikal, atau yang menggunakan sistem pengangkutan awam sentiasa terdedah kepada kemalangan jalan raya. Kalau bernasib baik, mungkin kita hanya mengalami kecederaan ringan, atau hanya kenderaan sahaja yang mengalami kerosakan. Tetapi jika tidak bernasib, mangsa kemalangan akan mengalami kecederaan parah yang boleh mengakibatkan kematian.

Apa tindakan kita sebagai pengguna jalan raya dalam usaha mengelakkan berlakunya kemalangan, terutamanya kemalangan maut? Kebiasaannya kemalangan jalan raya berlaku disebabkan oleh sikap pemandu itu sendiri, di mana sikap cuai dan mementingkan diri sendiri menjadi penyebab utama. Keduanya disebabkan oleh keadaan jalan raya, termasuk situasi semasa seperti kesesakan yang berlaku, keadaan cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan kabus tebal. Ketiga ialah disebabkan kondisi sesebuah kenderaan itu sendiri, seperti keadaan bunga tayar, sistem brek, tahap kekuatan enjin yang penting sewaktu cuba memotong kenderaan lain, dan ciri-ciri keselamatan yang dibekalkan pada setiap kenderaan yang sudah tentunya berbeza mengikut model.

Jika kita mengambil pendekatan memandu dengan berhati-hati dan berhemah mengikut semua peraturan jalan raya, risiko kemalangan boleh dikurangkan ke tahap minimum. Pemandu yang bijak bukan sekadar memandu dengan cermat, malah peka dengan semua keadaan di atas jalan raya yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan. Kenderaan juga perlu diselenggara dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan oleh pengeluar, di samping memastikan semua sistem dan peralatan berfungsi dengan baik. Dengan cara itu, perjalanan pulang ke kampung sempena musim perayaan ini akan berjalan dengan lancar dan kita akan selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Sebagai pengguna jalan raya juga, kita semua perlu tahu mulai 12hb. Ogos 2012 ini pihak kerajaan akan mula menguatkuasakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System), atau dikenali dengan nama ringkasannya sistem AES. Sistem AES menggunakan kamera berteknologi tinggi bagi menangkap gambar kenderaan yang dipandu melebihi had laju, dan bagi kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah. Pada dasarnya, sistem tersebut akan lebih mendidik pengguna agar memandu mengikut had laju yang ditetapkan, selain tidak mengambil mudah dengan melanggar lampu isyarat yang kerap kali kita lihat berlaku secara berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Selain penggunaan sistem AES yang sedikit sebanyak mencetus kontroversi kerana dikatakan bakal membebankan rakyat, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam baru-baru ini juga telah mencadangkan agar pengguna jalan raya yang dikenakan saman membayar saman pada masa yang sama ia dikeluarkan. Keputusan bagi menguatkuasakan arahan tersebut masih belum dikeluarkan secara rasmi, namun majoriti pengguna jalan raya tidak bersetuju dengan saranan tersebut. Usaha kerajaan mendidik setiap pengguna jalan raya melalui penggunaan sistem AES seharusnya dipuji, namun bayaran saman serta-merta yang dikenakan dilihat agak keterlaluan.

Sekali lagi kita sebagai pengguna jalan raya perlu mengambil pendekatan memandu dengan berhati-hati serta berhemah, dan sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi. Hargailah nyawa kita dan ahli keluarga sepanjang perjalanan pulang ke kampung di sepanjang musim perayaan ini. Kepulangan kita lebih bermakna apabila kita selamat sampai ke destinasi masing-masing, malah lebih ceria jika kepulangan kita itu tanpa dikenakan sebarang saman melalui sistem AES.

P/s: Berhati-hati di jalan raya dan ingatlah orang tersayang

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -