Posted by : Jobseekers Ahad, 12 Ogos 2012


Volkswagen Scirocco R adalah sebuah kereta yang pada pandangan saya mempunyai rekabentuk yang agak berbeza berbanding kereta lain. Ia rendah dan lebar. Ada kawan saya yang melihat kereta ini mengatakan ia adalah kereta Volkswagen yang leper. Kerendahan kereta ini dibantu oleh rim sporti bersaiz 19 inci yang dipasang bersama tayar selebar 235/35-19.

Ini dapat menambahkan cengkaman di jalan raya untuk pemanduan yang lebih meyakinkan dan pada masa yang sama memberikan kesan visual yang rendah pada kereta ini. Kereta ini juga mempunyai warna yang tidak selalu dilihat iaitu warna hijau, menjadikan penampilan luarannya bertambah menarik dan unik.

Saya telah menguji kereta ini sejauh 1,100 km iaitu satu perjalanan pergi balik dari Shah Alam-Kedah-Shah Alam dan kawasan sekitarnya. Pada mulanya, saya merasakan suspensi Scirocco R ini agak keras dan mencuba untuk mengubah pelarasan ‘DCC Adaptive Chassis Control’ kepada pelarasan ‘Selesa’ (Comfort). Terdapat 3 pelarasan yang boleh dipilih selain Selesa iaitu Biasa (Normal) dan Sukan (Sport).



Walaupun dalam pelarasan Selesa, saya masih dapat merasakan suspensi Scirocco R ini masih keras, namun begitu tetap selesa untuk perjalanan jauh. Kelebihan mempunyai suspensi yang agak keras ini adalah saya mendapat maklumat daripada stereng dengan tepat dan cukup responsif. Saya paling suka mengambil selekoh dengan mesin ini, perasaan sungguh mengujakan tetapi memberikan keyakinan kerana respon yang cukup bagus daripada keseluruhan sistem suspensi, stereng dan badan Scirocco R ini. Aspek pengendalian kereta ini adalah cukup baik.

Enjin 2.0L TSI dengan kotak gear 6-kelajuan pertukaran terus (Direct Shift Gearbox, DSG) berfungsi dengan cukup cemerlang bagi dua keadaan pemanduan berbeza. Sekiranya anda cuma menggunakan teknik kaki ringan (light-footed driving technique), kuasa enjin sebesar 255PS dan tork 330Nm ini tidaklah membuatkan anda takut kerana ia akan berfungsi sebagai mana anda memandu sebuah kereta biasa.

Ini akan memudahkan pemandu yang baru ataupun sesiapa sahaja yang kurang mahir untuk mengendalikan kereta berkuasa besar ini tanpa berlaku perkara yang tidak diingini. Tetapi sekiranya anda menekan pedal dengan agresif, kuasa berprestasi tinggi yang ada padanya akan terus sampai kepada kedua-dua tayar depan sehingga menyebabkan anda mengalami daya tarikan G negatif.



 Dalam perjalanan menuju ke Kedah, kuasa enjin ini dapat membantu untuk memotong kenderaan lain dengan pantas, selamat dan mengurangkan apa-apa risiko yang mungkin dihadapi. Scirocco R akan terus memecut seperti roket setelah anda memerah kuasanya melepasi 3,000RPM. Pada kelajuan tinggi, suspensi Scirocco R yang agak keras akan mula menunjukkan kelebihannya dengan menyerap hentakan pada jalanraya dan pada masa yang sama terus kekal di laluannya tanpa rasa tersengguk-sengguk.

Sejauh 1,100 km perjalanan, saya telah mengisi petrol menggunakan jenis RON97 kerana pada penutup tangkinya ditunjukkan ia memerlukan RON98, namun begitu setelah saya membaca lebih maklumat mengenai Scirocco R ini, rupa-rupanya ia mempunyai sistem anti ketukan, jadi ia boleh menerima petrol serendah RON95 dengan kekurangan sedikit kuasa pada enjin. Saya telah menghabiskan RM210.00 untuk petrol dalam perjalanan tersebut dan mungkin dapat lebih penjimatan sekiranya saya menggunakan RON95.

Kualiti kereta buatan Volkswagen ini adalah antara yang terbaik pernah saya lihat. Papan pemukanya direka dengan cukup cantik dan setiap sambungan pada pemuka tersebut dibuat dengan jurang yang amat kecil dan kemas. Ini akan mengurangkan bunyi yang boleh berlaku pada papan pemuka apabila kereta melanggar bonggol. Namun begitu, tempat duduk ‘bucket’ akan sedikit menyusahkan anda untuk keluar dari kereta kerana penahan paha agak tinggi. Sekiranya anda berjiwa pelumba, itu tidak menjadi masalah rasanya.


Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan prestasi Scirroco R dari aspek pengendalian dan kualiti yang terkemuka dari Jerman. Sekarang saya berharap jika berpeluang memiliki wang sejumlah RM279,888.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan), Scirocco R ini pasti akan terus menjadi milik saya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -