- Back to Home »
- Out the malaysian »
- Atlet Somalia Terima Ugutan Kerana Bertanding
Posted by : Jobseekers
Selasa, 14 Ogos 2012
London – Salah seorang daripada atlet Somalia yang bertanding pada temasya Sukan Olimpik 2012 menafikan laporan memohon suaka di Britain susulan ancaman yang diterima kerana bertanding dalam sukan berkenaan oleh kumpulan al-Shabab.
Sebaliknya, Mohamed Hassan Mohamed, pelari 1,500m memaklumkan dia bersama seorang lagi atlet negara berkenaan, Zamzam Mohamed Farah berhasrat untuk kembali ke tanah air, Selasa ini.
Jelasnya, biarpun mereka menerima ugutan, namun mereka tidak bercadang menetap di Britain dan memohon suaka, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
“Kami menerima banyak ancaman melalui Facebook dan telefon. Malah ibu bapa saya telah menghubungi saya dan memaklumkan mengenai perkara ini.
“Malah terdapat ancaman kepala saya akan dipotong sebaik sahaja sampai di Somalia,’’ katanya yang kini bimbang dengan keselamatannya.
Dalam pada itu, Zamzam pula berkata, penyertaannya dalam sukan itu bukan untuk mendapat pingat sebaliknya mahu mewakili negaranya dan mengibarkan bendera Somalia di temasya berkenaan.
Zamzam, 21, yang mengambil bahagian dalam acara 400 meter , berlari dengan memakai pakaian menutup aurat.
Selain menutup kepala, tangan dan kaki, Zamzam juga tetap melaksanakan ibadah puasa.
Kumpulan Al-Shabab, yang menjadi anggota al-Qaeda pada bulan Februari lalu menentang sebarang penyertaan dalam sukan yang disifatkan sebagai mengikut acuan barat.
Pada April tahun lalu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Somalia, Aden Yabarow Wiish dan Ketua Persekutuan Bolasepak Somalia, Said Mohamed Nur, maut dalam serangan bom berani mati di Mogadishu.
Pada 2010, kumpulan al-Shabab melancarkan serangan bom berkembar di Uganda, membunuh 70 orang ketika mereka sedang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia.