- Back to Home »
- Local Malaysia »
- Saya Sayangkan Dia – Johan As’ari
Posted by : Jobseekers
Ahad, 12 Ogos 2012
KISAH hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Johan As’ari dengan Nabila Huda kini bukan lagi rahsia setelah kedua-duanya mengaku saling menyayangi antara satu sama lain.
Ironinya, perasaan sayang dan cinta yang diluahkan oleh Johan menerusi laman sosial Twitter miliknya itu dilakukan sebaik sahaja dia pulang dari Mekah selepas menjalani penggambaran dan mengerjakan umrah baru-baru ini.
Johan yang ditemui sewaktu rakaman program Singgah Sahur di Muar, Johor pada 5 Ogos lalu mengakui bahawa dia sangat menyayangi anak kepada penyanyi rock Amy Search itu.
Bagaimanapun, buat masa ini juga dia tidak mahu terlalu terburu-buru membicarakan perkara perkahwinan, memandangkan kerjaya lakonannya yang kini semakin meningkat dan berserah kepada Allah berkenaan soal jodoh.
Kosmo!: Apa yang membuatkan Johan secara tiba-tiba meluahkan rasa isi hati kepada Nabila menerusi laman Twitter?
JOHAN: Semasa berada di hadapan Kaabah sewaktu mengerjakan umrah tempoh hari, banyak berdoa supaya diberikan kesejahteraan dalam kehidupan dan berharap agar ditemukan dengan jodoh yang sesuai.
Kemudian apabila kembali semula ke tanah air, saya ambil keputusan untuk berterus terang mengenai perasaan saya yang sebenar terhadapnya. Lagipun tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan kerana saya memang menyayangi dirinya.
Johan tidak kisah berkahwin dengan seorang wanita yang bergelar janda?
Bagi saya status seseorang itu bukan satu masalah yang besar kerana isteri Rasulullah, Siti Khadijah pun merupakan seorang janda. Lagipun kalau niat mahu mendirikan masjid, status sepatutnya tidak menjadi halangan.
Tidak dinafikan memang ada segelintir pihak yang menasihati saya supaya tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan Nabila. Namun, kalau memang benar dia merupakan jodoh saya, sudah tentu saya tidak akan menolaknya.
Bagaimana pula penerimaan keluarga Johan terhadap hubungan dengan Nabila?
Sebenarnya saya dah berterus terang dengan ibu dan mengatakan kepadanya bahawa saya amat menyayangi Nabila. Ibu ada memberi nasihat kalau memang benar saya sayangkan Nabila, dia menyuruh saya terus berusaha dan fokus dalam bidang yang diceburi sekarang supaya kehidupan saya menjadi lebih stabil.
Jadi, saya akan ikut nasihat ibu saya itu dan sekarang saya berharap kerjaya lakonan saya semakin meningkat. Malah, ibu turut berpesan dengan cara itu juga menjadi tanda yang saya memang menyayangi Nabila.
Apakah yang membuatkan Johan boleh tertarik dengan Nabila?
Sepanjang kami bersahabat baik, saya dapati dia merupakan seorang wanita yang baik hati, sentiasa mengambil berat dan pandai memasak. Memandangkan dia lebih berpengalaman dalam dunia hiburan, dia yang banyak mengajar saya mengenai selok-belok dalam bidang ini.
Adakah Johan sudah mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga?
Sekarang ini saya belum lagi terfikir ke arah itu kerana mahu fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Memang saya akui sangat menyayangi Nabila, tetapi tidak terlintas untuk melamarnya dalam tempoh terdekat.
Apakah aktiviti terbaharu Johan sekarang?
Pada bulan puasa ini saya masih lagi terbabit dengan penggambaran drama Syahadat Cinta sehingga 16 Ogos ini. Selepas itu saya akan bercuti untuk sambutan Aidilfitri selama sembilan hari dan akan menyambung semula penggambaran drama yang sama.