Posted by : Jobseekers Isnin, 13 Ogos 2012


Malam tujuh likur, adalah sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan. Kebiasaannya lampu-lampu pelita akan dipasang untuk menyerikan halaman rumah. Bersempena dengan itu, konsep cahaya pelita diadaptasikan sebagai satu simbol ‘NUR’ yang menerangi sebuah kehidupan.

Bagi sesetengah masyarakat, tanggal 26 ramadan adalah detik paling penting kepada mereka. Teringat zaman kanak-kanak, hari ke 26 dan malam ke 27 dipanggil malam tujuh likur. Itu mungkin hanya panggilan orang Melayu pantai timur, yang lebih tepat ia mungkin dimaksudkan dengan malam penuh berkat iaitu malam lailatul qadar. Walaupun kurang mengerti lagi ketika zaman kanak-kanak erti malam qadar, namun ia seolah-olah sudah ditunggu-tunggu oleh kami sebagai kanak-kanak. Kanak-kanak amat kuat kepercayaannya jika dididik dan diasuh oleh ibubapanya. Menunggu malam tujuh likur untuk menadah tangan berdoa kepada Allah taala menjadi kelaziman mereka yang mempunyai impian. Tidak kurang juga masyarakat Arab, teringat ketika berada di bumi Madinah dan Mekah, malam 27 adalah malam yang dipenuhi oleh orang ramai. Di Masjidil Haram ada yang solat diatas escalator. Tidakkah ini menggambarkan kepercayaan masyarakat terlalu kuat tentang malam ke 27.
Tetapi, adakah benar malam tujuh likur atau malam ke 27 ramadan adalah malam lailatul qadar yang sangat ditunggu-tunggu?

Sebenarnya para sarjana Islam silam telah berselisih pandangan dalam menentukan bilakah malam lailatulqadar. Cuma dikesempatan ini, penulis hanya ingin berkongsi maklumat bahawa ada ulama yang menegaskan bahawa malam ke 27 adalah paling diharap-harapkan menjadi malam qadar. Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Maksudnya : “lailatul qadar ialah malam ke 27” (Direkodkan oleh Imam Ahmad 4793 daripada hadis Ibn Umar dengan sanad sahih, dan Abu Dawud1386 daripada hadis Mu’awiyah bin Abi Sufyan)
Imam Muslim merekodkan (762) daripada Ubay bin Kaab r.a. bahawa beliau pernah bersumpah mengatakan malam 27 adalah malam lailatul qadar. Begitu juga Ibn Abi Shaibah meriwayatkan daripada Zurr bahawa beliau pernah ditanya tentang lailatul qadar, maka jawabnya : “Adalah Umar, Huzaifah dan sebahagian sahabat tidak menyesyaki lagi bahawa malam 27 adalah lailatul qadar” (al-Durr al-Manthur, tafsir surah al-Qadr)

Jika kita mengkaji surah al-Qadr, perkataan فيها (fiha) dalam ayat ( تنزل الملائكو والروح فيها) adalah perkataan yang ke 27 daripada surah tersebut. Ada juga ulama yang mengistinbatkan malam qadar pada malam 27 melalui kaedah perkiraan atau matematik. Kalimah ليلة لبقدر mengandungi 9 huruf. Ia disebut sebanyak 3 kali dalam surah al-Qadr. Maka 9×3 = 27. Namun cara ini tersangat jauh untuk dijadikan pegangan dan sandaran. Terlalu takalluf, jadi tidak perlu dipegang sangat cara-cara seperti ini.
Antara dalil-dalil syarak yang boleh dijadikan hujah ialah kisah seorang lelaki yang bermimpi melihat malam qadar pada malam 27 ramadan, lantas Nabi bersabda :


أرى رؤياكم في العشر الأواخر فاطلبوها في الوتر منها


Maksudnya : “Aku melihat mimpi-mimpi mu pada sepuluh terakkhir maka carilah nya pada malam-malam witir daripadanya”. (Bukhari 2015)
Kesimpulannya pada pandangan saya, melihat kepada kisah ini, Nabi s.a.w. tidak mengiyakan bahawa malam 27 adalah malam qadar tetapi Nabi lebih cenderung menggalakkan umatnya mencari lailatul qadar pada malam-malam witir daripadanya. Adapun malam ke 27, mungkin ia adalah biasa berlaku (wallahualam) dan kadang kala boleh berlaku pada malam ke 21 seperti hadis Abi Said al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. sujud pada pagi 21 atas tanah becampur air (في ماء وطين). Dan mungkin boleh berlaku malam-malam lain.
Apa yang perlu dikejar dan dilakukan oleh seseorang yang bergelar mukmin ialah merebut peluang yang masih berbaki ini. Perbanyakkanlah ibadat, solat, zikir dan doa seperti doa yang diajar oleh nabi kepada Aisyah r.ah.

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Begitu juga setiap diri orang-orang Islam tidak wajib bagi seseorang itu mengetahui bahawa dia telah berjaya berjumpa lailatul qadar. Ini kerana yang wajib ialah kesungguhan dan keikhlasannya dalam melakukan ibadat sama ada ia mengetahui malam tersebut lailatul qadar atau tidak. Boleh jadi ia tidak mengetahui malam tersebut malam qadar, tetapi ia bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam ibadat. Oleh itu, teruskan usaha anda…….usaha dan usaha…..

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -