- Back to Home »
- Malaysian Car Liking »
- Volkswagen up! kini dengan pilihan kotak gear ASG
Posted by : Jobseekers
Ahad, 5 Ogos 2012
Bertambah menarik nampaknya model Volkswagen up! selepas ini. Bukan saja reka bentuk kompaknya yang menepati gelaran kereta bandar (city car), malah aspek pemanduannya kini menjadi lebih mudah dan bersahaja dengan pengenalan kotak gear ASG (automated manual gearbox) baharu. Kotak gear tersebut kini tersedia untuk model Move up! dan High up! dalam versi tiga dan lima pintu (tidak termasuk versi BlueMotion Technology).
Menurut Volkswagen, kotak gear ASG hanya menelan kos sebanyak £595, memberikan tahap kecekapan ekstrem dengan meningkatkan tahap ekonomi bahan api dan rendah pengeluaran emisi CO2 jika dibandingkan dengan kotak gear manual. ASG merupakan versi automatik kotak gear manual 5-kelajuan bagi up!. Dengan ASG, pemandu hanya menggunakan tuil gear untuk memilih D (Drive), N (Neutral) atau R (Reverse), dan tiada P (Park), di mana kotak gear itu akan memilih gear paling optimum mengikut situasi. Pemandu juga boleh memilih gear secara manual menggunakan tuil gear, namun ‘paddle shift’ tidak disediakan untuk up!.
Pelanggan di UK kini sudah boleh menempah varian up! yang dilengkapi ASG mulai sekarang, dengan penghantaran pertama dijangka akan dilakukan pada bulan Oktober. Sementara itu, versi eletrik sepenuhnya bagi model up! akan diperkenalkan pada lewat 2013 nanti. Antara pencapaian yang diterima oleh up! ialah anugerah World Car of the Year 2012, What Car?, dan juga dinamakan oleh majalah TopGear sebagai Small Car of the Year.