Posted by : Jobseekers Jumaat, 2 November 2012




PELAKON remaja ini pada awal tahun lalu sering menjadi bahan paparan media berikutan kisah cintanya dengan pelakon kacak Shaz Jaszle atau kini lebih dikenali sebagai Shahrizal Jaszle.

Namanya semakin melonjak apabila cinta lokasi mereka itu hanya bertahan beberapa bulan sahaja gara-gara Shahrizal mencurangi Miera.

Sejak itu, Miera Liyana, 19, menjadi buruan media bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu putus cinta itu dan secara tidak langsung namanya juga menjadi tumpuan pengarah dan penerbit filem dan drama.

Hampir 11 bulan berlalu, Miera kini mengakui dirinya sedang meniti bahagia walaupun masih belum menemui kekasih hati baharu.

"Sekarang tidak ada sesiapa (kekasih), saya rasa lebih seronok sekarang tanpa teman lelaki dan tiada sesiapa suruh saya balik cepat," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri, Putera Rayyan yang disiarkan menerusi slot Samarinda, TV3 bermula 31 Oktober lalu pada setiap Selasa dan Rabu pukul 10.30 malam.

Tambah Miera, dia merasakan dirinya kini juga lebih bebas tanpa kongkongan seorang lelaki seperti sebelum ini.

"Sekarang, walaupun solo, saya lebih gembira sebab boleh fokus kerja dan pemikiran saya juga lebih matang daripada sebelum ini," jelasnya yang bakal muncul dalam filem Rentaz bersama Shahrizal tahun depan.

Katanya, bukti yang menunjukkan dirinya kini lebih bahagia ialah apabila berat badannya telah naik sebanyak lapan kilogram (kg) selepas Aidilfitri lalu berbanding 42kg sebelum itu.

"Bagaimanapun, saya tengah berdiet sekarang untuk turunkan berat badan kepada normal balik. Saya tidak tahu macam mana boleh naik berat sedangkan di set penggambaran saya tidak makan banyak pun," ujarnya.

Kata Miera, berat badannya mungkin naik disebabkan dia selalu makan sebelum tidur selepas pulang dari set penggambaran.

"Saya tidak makan di set penggambaran tetapi apabila pulang ke rumah lapar pula, makan lepas itu tidur. Mungkin sebab itulah berat badan saya meningkat," ujarnya tidak menolak kemungkinan untuk menyambung pelajaran suatu hari nanti.

Mengenai persoalan dia bakal bertentang mata sekali lagi dengan Shahrizal setelah sekian lama tidak berjumpa, selepas putus cinta, khususnya untuk promosi Rentaz, Miera mengakui dirinya berdebar-debar tetapi bukan disebabkan lelaki itu.

"Kami sudah bawa haluan masing-masing. Saya sedang bahagia, begitu juga dia. Saya profesional kalau disebabkan kerja, memang kami sudah lama tidak berjumpa. Memang berdebar, bimbang respons peminat terhadap filem itu," ujarnya.

Miera menjelaskan lagi, dia tidak kisah kembali berhadapan bekas kekasihnya itu disebabkan kerja sebaliknya dia berdebar kritikan peminat terhadap filem berkenaan.

Tolak kekasih artis

Menggali ke dalam kisah peribadi Miera berkaitan cinta danm perasaan hatinya, Miera menegaskan, dirinya kini lebih matang.

Ia disebabkan cinta terdahulu dan impaknya, Miera boleh dikatakan sudah serik untuk bercinta dengan lelaki dalam kalangan artis.

"Tidak mahu lagi ada kekasih dalam kalangan artis pada masa hadapan, saya tidak mahu lagi di set penggambaran saya berlakon, selepas itu balik rumah pun kena 'berlakon' lagi," ujarnya penuh makna tersirat.

Mengakui meminati pengacara tampan Henry Golding, aktor kacak Aaron Aziz dan pelakon bertubuh sasa Adi Putra, Miera menjelaskan dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta dalam masa beberapa tahun ini.

Dia menambah, mahu fokus kepada bidang lakonan terlebih dahulu buat masa sekarang memandangkan tawaran berlakon dalam filem mahupun drama semakin banyak diterima.

"Saya tidak mahu fikir soal lelaki sekarang, nak bertapak kukuh dalam lakonan dahulu memandangkan tawaran sekarang pun makin banyak," ujarnya yang mendedahkan lebih meminati lelaki yang berwajah macho berbanding muka 'jambu' (comel).

Pukul Nad Zainal

Menerusi drama Putera Rayyan, Miera yang memegang watak utama sebagai Anisa bersama pelakon utama lain seperti Kamal Adli dan Nad Zainal.

Dalam drama berkenaan, Miera memegang watak antagonis yang merupakan watak jahat pertama yang pernah ditawarkan kepadanya.

"Sebelum ini saya selalu dapat watak baik, kali ini apabila kena jadi jahat, memang mencabar lagi pun, dalam drama itu saya kena pukul Nad Zainal setiap hari dan ia memenatkan," ujarnya.

Nad yang memegang watak sebagai Arisa menjadi adik-beradik kepada Miera dalam drama itu sering menjadi mangsa dera apabila sering dipukul oleh Miera.

"Penat sangat berlakon drama itu, penat kena pukul Nad tetapi saya teruja sangat berlakon drama itu sebab ia sesuatu yang baharu dalam lakonan saya," ujarnya memegang watak jahat dan komedi sekali gus dalam drama berkenaan.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -