Kia pro_cee’d GT dan cee’d GT bakal muncul di Geneva Motor Show 2013
Kia akan memperkenalkan model baharu yang buat pertama kalinya memberi fokus terhadap prestasi sebenar – Kia pro_cee’d GT dan cee’d GT – dengan kemunculan rasmi kedua-dua model itu ditetapkan di Geneva Motor Show 2013 pada 5 Mac depan.
Model berkenaan direka di Eropah di bawah pengawasan Presiden dan Ketua Pegawai Reka Bentuk, Peter Schreyer, jadi tidak hairanlah penampilan luarannya setakat ini kelihatan begitu anggun dan berani, dilengkapi lampu LED nyala siang hari, paip ekzos berkembar, kusyen Recaro, rim aloi 18 inci dan kaliper brek berwarna merah yang pantas mencuri pandangan.
Enjin petrol 1.6 liter GDI yang menjana model berkenaan menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan tork 265 Nm, disalurkan ke jalan raya melalui kehadiran transmisi manual enam kelajuan, membolehkan pro_cee’d GT dan cee’d GT memecut pantas dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh hanya 7.9 saat.
Menurut Kia, ahli keluarga baru tersebut dijadualkan pengeluarannya di Kilang Zilina yang beroperasi di Slovakia dalam pertengahan Mei tahun ini. Kia pro_cee’d GT dijangka akan mula dijual di pasaran UK pada pertengahan tahun, sebelum disertai oleh model cee’d GT mulai penghujung 2013.
Ahad, 3 Februari 2013
Posted by Jobseekers
Warna pink untuk Kia Picanto
Kia telah menambah pilihan warna baharu pink untuk model Picanto di pasaran UK, dikenali dengan nama ‘Fuchsia Blush’ yang terdapat pada model lima pintu.
Selain warna pink, turut boleh didapati ialah pilihan warna putih ‘White’ untuk model tiga pintu, bagi menggantikan model dengan spesifikasi paling atas ‘Halo’ dan ‘Equinox’.
Model teratas ‘White’ dilengkapi rim aloi 15 inci, sistem Engine Start/Stop dengan Smart Entry, termasuk Bluetooth, penyaman udara automatik dan reverse sensor.
Untuk pasaran UK, harga Picanto ‘White’ bermula dari £11,745 untuk model 1.25 84bhp 5-kelajuan manual ISG, dan £12,345 untuk model 1.25 84bhp 4-kelajuan automatik.
Aston Martin Vanquish Centenary Edition
Jenama mewah itu hanya akan mengeluarkan sebanyak 100 unit model dengan spesifikasi Centenary Edition yang boleh didapati di pasaran seluruh dunia, bagi setiap barisan model seperti berikut : V8 Vantage, DB9, Rapide dan Vanquish.
Bagi yang berminat, model Centenary Edition kini sudah boleh ditempah melalui semua 146 pengedar Aston Martin di 44 buah negara di seluruh dunia
Sabtu, 2 Februari 2013
Posted by Jobseekers
Audi RS 7 Sportback tampil elegan & ekstrem
Model baharu Audi RS 7 Sportback membuat kemunculan pertama di North American International Auto Show (NAIAS) 2013, tampil dengan reka bentuk keseluruhan yang elegan namun dibekalkan sistem penjana kuasa yang ekstrem.
Menurut pengeluarnya, model Sportback dalam kelas eksekutif itu mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh hanya 3.9 saat, dengan kelajuan maksimum direkodkan sehingga hampir 305 km/j jika mengaktifkan pakej Dynamic plus.
Audi RS 7 Sportback menggunakan enjin V8 4.0 liter TFSI yang baru-baru ini diumumkan untuk model RS 6 Avant, dengan keupayaan menghamburkan kuasa setinggi 560PS@5,700-6,700rpm dan 700Nm@1,750-5,500rpm hasil bantuan dua unit pengecas turbo.
Enjin tersebut dipadankan transmisi tiptronic lapan kelajuan yang disempurnakan oleh kehadiran sistem pacuan semua roda quattro bersama-sama ciri sport differential. RS 7 Sportback tersedia untuk tempahan di pasaran UK mulai musim panas 2013, dengan tawaran harga £84,000 OTR.
Penampilan pertama Lexus IS serba baharu
Model yang dibangunkan serba baharu sepenuhnya Lexus IS telah membuat kemunculan pertama untuk dunia di North American International Auto Show (NAIAS) 2013 di Detroit, dengan jadual pelancarannya di pasaran UK pada musim panas akan datang.
Barisan model yang dipertontonkan kepada pengunjung termasuklah model IS dengan sistem hibrid penuh, IS 300h, bersama-sama model yang dikuasakan enjin petrol IS 250. Kedua-dua versi hadir dengan sistem pacuan roda belakang dan akan tersedia dengan pilihan pakej Lexus F Sport.
Di bawah berikut merupakan petikan daripada siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Lexus UK mengenai spesifikasi Lexus IS serba baharu untuk pasaran di sana;
New IS in the UK
New IS equipment and technical specifications and other information specific to the UK market models will be announced at a later date.
Renault perkenal Captur, kemunculan rasmi di Geneva Motor Show 2013
Renault memperkenalkan Captur, sebuah model crossover urban baharu yang berkongsi platform sama seperti model Clio baharu. Ia didakwa menawarkan keseronokan pemanduan bagaikan sebuah kenderaan dalam segmen B.
Merupakan model crossover urban pertama yang dihasilkan oleh Renault, Captur turut dikatakan memiliki ciri-ciri dinamik pada tahap terbaik, daripada pengawalan di jalan raya kepada maklum balas enjin dan pengendalian yang tangkas.
Enjin petrol dan dieselnya mendapat manfaat secara terus daripada teknologi paling terkini Renault, dan memberikan pulangan terbaik dari segi penjimatan bahan api dan pengeluaran emisi CO2, bermula serendah dari 96g/km.
Renault Captur akan dikeluarkan dari kilang Valladolid milik Renault di Sepanyol dan akan diperkenalkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2013 pada bulan Mac akan datang.
Tahniah! Ning Baizura & Omar Sharif Dapat Anak Lelaki
Tahniah kepada diva Ning Baizura dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton kerana telah dikurniakan bayi lelaki. Berita itu dimaklumkan oleh pengurus penyanyi bersuara soprano ini yang memberitahu, Ning telah selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 3.06 pagi tadi di Kuala Lumpur.
Dengan sukacitanya ingin saya umumkan bahawa Ning Baizura telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 31hb Januari 2013, Jam 3:06 pagi di Kuala Lumpur. Hari ini juga amat teristimewa kerana ia adalah hari ulangtahun perkahwinan Ning dan Chris yang ke-5.
Kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat. Terima kasih di atas segala doa dan sokongan anda.
Walau bagaimanapun, Ning Baizura masih belum memaklumkan nama serta memuat naik foto bayi mereka dalam email tersebut. Tahniah sekali lagi diucapkan pada Ning Baizura dan suaminya. Kita nantikan saja kalau-kalau Ning akan berkongsi foto anak sulung itu di Twitter atau pun di Instagram nanti.
Oh ya, selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-5 buat pasangan ini. Semoga mereka terus bahagia jadi mummy dan daddy yang mithali!
Yamaha XJ6 Naked kini di Malaysia dengan tawaran harga RM40,152,30!
Saya tidak dapat mengesahkan sama ada model Yamaha XJ6 Naked telah dilancarkan dengan rasminya di pasaran tempatan ketika ini, namun sumber dari Motomalaya.net menyebut harga yang ditawarkan untuk model itu ialah sebanyak RM40,152.30.
Dua warna ditawarkan iaitu Putih dan Race Blu, anda boleh saksikan contohnya melalui dua keping gambar yang saya muat naik di sini. Buat masa ini masih belum ada sebarang maklumat mengenai XJ6 Naked di laman sesawang rasmi Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd.
Perasmian kilang KTM di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah
Motonation Manufacturer Sdn Bhd (Motonation), pemasang dan pengedar motosikal berjenama KTM di Malaysia, yang terletak di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.
Memandangkan kilang itu sudah beroperasi agak lama, saya sangkakan majlis perasmian kilang itu telah diadakan. Rupa-rupanya menurut laporan daripada akhbar Harian Metro edisi hari ini, kilang tersebut baru saja dirasmikan oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kelmarin.
Dalam sidang akhbar majlis perasmian itu, Pengarah Urusan KTM Asia Tenggara, Selvaraj Narayana dilaporkan berkata, pembukaan kilang KTM yang pertama itu adalah bagi memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara, selain mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran antara 20 peratus sehingga 30 peratus bagi memenuhi permintaan dalam pasaran domestik.
Menurut beliau lagi, sebanyak RM30 juta telah dilabur dan kira-kira 300 peluang pekerjaan disediakan sejak ia beroperasi lima tahun yang lalu. Tambahnya lagi, untuk tempoh lima bulan yang lalu, KTM telah berjaya menjual kira-kira 1,000 unit motosikal di pasaran tempatan, menandakan sambutan yang diterima untuk jenama KTM sangat menggalakkan.
Motonation meletakkan sasaran untuk mencapai jualan tahunan sebanyak 10,000 unit membabitkan model KTM 200 Duke dan KTM 690 Duke yang dipasang sepenuhnya di negara ini.
Generasi baharu Kia Rio akan dilancarkan pada 30 Januari 2013
Naza Kia Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan berjenama Kia di pasaran tempatan telah mengesahkan akan melancarkan generasi baharu Kia Rio pada hari Rabu, 30 Januari 2013 akan datang.
Model berkenaan dikatakan menampilkan reka bentuk baharu yang telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, di samping mempunyai pelbagai ciri-ciri menarik yang menjadi peneraju di dalam kelasnya, tahap keselamatan dan ekonomi bahan api.
Antara ciri-ciri yang dibekalkan pada Rio baharu termasuklah lampu LED nyala siang hari, bumbung suria, lampu kombinasi belakang dengan LED, sistem audio Arkamys, ESC (electronic stability control) dan enam beg udara.
Generasi baharu Kia Rio itu disasarkan untuk para pelanggan yang berusia di bawah 35 tahun yang bukan saja mementingkan corak kehidupan bergaya, malah tidak berkompromi dengan tahap keselamatan dan penjimatan bahan api.
Mengapa rambut mudah beruban
Pasti ada di antara anda yang mengalami masalah rambut beruban, walau pada usia semuda remaja mahupun di awal dua puluhan. Hal ini sedikit sebanyak membawa kesan kepada daya keyakinan diri, khasnya kepada golongan wanita yang inginkan rambut hitam berkilat tanpa sebarang kekurangan.
Menurut kebanyakan pakar trikologi, masalah rambut beruban seringkali berkait-rapat dengan genetik namun ia tidak semestinya merupakan indikasi kepada masalah kesihatan. .
Walaubagaimanapun, sekiranya banyak helaian rambut anda sudahpun beruban sebelum anda menjangkau usia 35 tahun, besar kemungkinan anda mengalami masalah kekurangan vitamin B12 dan asid folik dalam badan. .
Penyelidikan saintifik berdasarkan Bahagian Dermatologi di Universiti Hospital Uppsala di Sweden telah mendapati bahawa asid folik, vitamin B12 dan pendedahan kepada cahaya matahari berupaya membantu dalam proses pempigmenan di kulit dan rambut yang telah berhenti dai menghasilkan melanin. .
Sekiranya anda ingin menambahkan lagi zat vitamin B12 dalam badan, banyakkan mengambil daging merah, binatang laut bercangkerang, telur, haiwan ternakan dan susu dalam pemakanan harian. Cara baik untuk menutup uban adalah dengan penggunaan bahan semulajadi seperti inai dan tidak banyak bergantung kepada bahan pewarna rambut yang mengandungi ammonia, formaldehid, dan bahan-bahan lain yang berpotensi membawa kesan sampingan. .
Perodua mencatatkan rekod jualan tertinggi 189,000 unit bagi tahun 2012
Memetik laporan daripada BERNAMA hari ini, Perodua sekali lagi mencatatkan rekod jualan tertinggi sejak tahun 2006, dengan menjual sebanyak 189,000 unit kenderaan pada tahun 2012.
Rekod jualan baru tersebut membolehkan Perodua terus menjadi peneraju dengan penguasaan kira-kira 30.2 peratus bahagian pasaran. 2012 merupakan tahun ketujuh berturut-turut bagi Perodua yang menduduki tangga teratas di kalangan jenama lain.
Antara model yang mendapat permintaan tinggi dari pasaran dalam tahun lepas ialah model baharu Perodua Myvi, sementara model MPV kompak Perodua Alza dikatakan berjaya mencatatkan peningkatan permintaan.
Bagaimanapun menurut Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, syarat pemberian pinjaman kewangan yang ketat telah menyebabkan ramai pelanggan mereka tidak mendapat kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan.
p/s : Tahniah kepada Perodua kerana terus berjaya mengekalkan kedudukan teratasnya di persada arena automotif di Malaysia.
Gempar!!! Lisa Surihani kerugian RM50 ribu
Pelakon popular, Lisa Surihani, dan ibunya mengalami kerugian besar apabila wang sebanyak RM50,000 dalam akaun bersama mereka dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, menyedari wang tersebut lesap ketika dia ingin mengeluarkan wang pada Jumaat lalu.
Menurut sumber pihak berkuasa, ketika ibu kepada pelakon "Istanbul Aku Datang" membuat semakan baki simpanan, dia mendapati wang dalam akaun berkurangan dan mengesyaki berlakunya penipuan kerana dia tidak ada membuat pengeluaran wang sebanyak itu.
Selepas merujuk kepada pihak bank, Siti Amira diberitahu bahawa kad ATM miliknya telah ditukar dengan kad yang baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
Lisa dan ibunya kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama.
Semakan yang dibuat kemudiannya mendapati bahawa rekod pengeluaran wang dalam akaun tersebut dikeluarkan di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Lisa yang dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Proton dalam keadaan kritikal, bakal dipintas oleh Toyota?
Proton Holdings Berhad (Proton) pernah mengecapi zaman gemilangnya sebelum ini, sehinggakan empat daripada lima unit kereta yang dijual di pasaran Malaysia ketika itu adalah kenderaan buatan Proton.
Namun sejak lebih enam tahun yang lalu, jualan tahunan Proton telah berjaya dipintas oleh sebuah lagi syarikat automotif nasional, Perodua. Sejak itu Proton bergelut untuk kembali ke puncak, namun masih gagal sehingga kini.
Dalam keghairahan Proton mengatur rentak untuk kembali ke persada teratas dunia automotif tempatan, laporan media baru-baru ini seolah-olah membayangkan Proton bukan saja telah gagal dalam misinya, malah berada dalam situasi lebih kritikal.
Menurut laporan The Malaysian Insider bertarikh 11 Januari 2013, Proton berkemungkinan besar akan jatuh ke tangga ketiga dari segi jualan, di belakang Perodua dan Toyota. Jualan Proton pada tahun 2012 direkodkan sebanyak 158,000 unit, namun jualan pada tahun ini telah jatuh sebanyak 11 peratus kepada hanya 140,000 unit.
Menurut sumber industri itu lagi kepada akhbar The Edge, kadar jualan sebenar hanya akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, namun berkata Toyota semakin hampir mengatasi kedudukan Proton dari segi jualan pada Disember.
Tanpa model baharu terutamanya model kompak untuk bersaing dengan jenama Perodua, Proton akan terus berada di dalam tekanan. Untuk tahun ini, Proton dikatakan hanya akan melancarkan sebuah model baharu berbanding pesaingnya yang akan memperkenalkan lebih banyak model menarik dan kompetetif.
p/s : Tak dapat dibayangkan kalau kedudukan Proton jatuh di tempat ketiga di belakang Toyota. Namun tidak menghairankan kerana jenama luar seringkali dikaitkan dengan tahap kualiti yang lebih tinggi berbanding jenama tempatan.
Selasa, 15 Januari 2013
Posted by Jobseekers
Lebih 100 juta dijangka sertai festival Kumbh Mela
INDIA - Berjuta-juta penganut Hindu beramai-ramai berkumpul di Sungai Ganga semalam untuk memulakan festival agama terbesar di dunia.
Dikenali sebagai Kumbh Mela, upacara berkenaan yang diadakan di bandar Allahabad itu disertai oleh 100 juta penganut agama Hindu.
Mereka akan berkumpul selama 55 hari untuk menyertai upacara mandi di Sungai Ganga bertujuan membersihkan dosa dan mendapatkan keberkatan.
Menurut Pegawai Maklumat Negeri, Ashok Kumar, seramai enam juta orang telah tiba di Kumbh Mela setakat pukul 2 petang semalam dengan 10 juta lagi dijangka tiba pada hari yang sama
Kredit: Kosmo
Kasihan terpaksa tanggung hutang RM107,000
KUALA LUMPUR - Seorang konduktor bas terpaksa menanggung hutang sebanyak RM107,000 selepas kad pengenalannya didakwa disalah guna oleh pihak tertentu untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah kereta dan kedai.
Lebih malang, dia turut diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 20 Jun tahun lalu ekoran hutang tersebut gagal dilunaskannya.
Wanita tersebut, Wong Ai Fah, 46, berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas dihubungi pihak bank mengenai hutang tersebut tiga tahun lalu.
"Pihak bank memaklumkan bahawa saya masih belum menjelaskan pinjaman pembelian kenderaan dan kedai yang masing-masing berjumlah RM12,000 dan RM45,000 serta hutang kad kredit sebanyak RM50,000.
"Saya memberi penjelasan bahawa saya tidak pernah membuat pinjaman dengan bank berkenaan namun tidak dilayan kerana kesemua pinjaman itu dibuat atas nama saya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Kredit: Kosmo
Duchess of Cambridge-Kate Middleton dijangka bersalin Jun
LONDON 14 Jan – Isteri Putera William, Catherine atau Kate Middleton, dijangka akan bersalin bulan Jun depan dan kini berada dalam keadaan yang sihat, lapor pejabat Istana St. James.
Duchess of Cambridge itu sebelum ini ditahan di Hospital King Edward VII, kerana mengalami alahan teruk.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana hari ini memberitahu, Middleton yang berkahwin dengan Putera William pada April 2011 kini berada dalam keadaan sihat dan muncul di khalayak ramai minggu lalu
Suzuki Swift baharu dilancarkan, 1.4 liter, harga RM77,888.00 OTR
Suzuki Malaysia Automobile (SMA) hari ini secara rasminya melancarkan generasi baharu Suzuki Swift yang kini sudah sampai ke generasi ketiga, dalam suatu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut laporan laman sesawang CBT (Cars, Bikes, Trucks), hanya satu varian ditawarkan buat masa ini, Suzuki Swift GLX dengan tanda harga RM77,888.00 OTR termasuk perlindungan insuran. Namun varian GLX-S turut ditawarkan dengan peningkatan hanya melibatkan kit aksesori asli Suzuki.
Berbanding generasi sebelumnya, Suzuki Swift baharu kini mempunyai pertambahan dari segi dimensi keseluruhan, di mana panjangnya bertambah kepada 100mm, lebar 5mm dan 40mm untuk jarak roda. Bukan itu saja, model kompak itu turut dilengkapi empat brek cakera, penghidup enjin tanpa kunci, kawalan suhu automatik, dan 60kg lebih ringan.
Berkenaan sistem penjana kuasa, tiada lagi enjin 1.5 liter kerana ia kini digantikan enjin baharu bersesaran 1.4 liter K14B yang menghasilkan kuasa 94hp dan tork maksimum 130Nm, dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan. Sebagai perbandingan, enjin 1.5 liter sebelum ini mempunyai kuasa sebanyak 99hp dan tork maksimum 133Nm.
Selain itu, dengan tambahan kos sebanyak RM5,300.00 bagi varian GLX-S, pelanggan boleh memiliki Suzuki Swift baharu dengan kelengkapan aksesori asli serba lengkap yang merangkumi kehadiran ‘skirting’ depan, tepi dan belakang, spoiler, ‘door sill guards’, pelekat sport depan, dan jeriji dengan kemasan berwarna perak.
Kit aksesori asli Suzuki (The Suzuki Genuine Accessories Kit) hanya boleh didapati dalam warna putih (Snow White Pearl). Ciri-ciri keselamatan yang melengkapi Swift baharu termasuklah dua beg udara, ABS dan EBD serta ‘brake assist’.
Buat masa ini Suzuki Swift diimport sepenuhnya dari Thailand. DRB-Hicom dikatakan sedang merancang untuk memasang model itu secara tempatan (CKD) di kemudahan pengeluarannya di Pekan, Pahang.
Berdasarkan percakapan Keiichi Suzuki, pengarah urusan SMA, syarikat itu merancang untuk menjual kira-kira 600 unit Swift pada setiap sebulan.
Di bawah gambar Suzuki Swift :-
Jumaat, 11 Januari 2013
Posted by Jobseekers
Telefon pintar paling nipis di dunia
PARIS - Syarikat peralatan Perancis, Alcatel memperkenalkan model baharu One Touch Idol Ultra yang didakwa telefon pintar paling nipis di dunia, lapor laman web infomobile.
Setebal cuma 6.45 milimeter, gajet tersebut dipamerkan pada hari pertama pameran Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Telefon pintar itu mempunyai skrin berukuran 11.9 sentimeter dan dijana pemprosesan dua teras berkapasiti 1.2 giga hertz dan perisian Android 4.1 Jelly Bean.
Model terbaharu itu akan mula dijual di China pada hujung bulan ini sebelum memasuki pasaran lain di dunia termasuk AS dan Eropah.
Kredit: Kosmo
Khamis, 10 Januari 2013
Posted by Jobseekers
Berlusconi diarah bayar bekas isteri RM791,180 sehari!!!
ROM - Bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi mengecam tiga hakim wanita sebagai feminis dan komunis kelmarin kerana memutuskan beliau berhutang AS$260,000 (RM791,180) sehari kepada isterinya berhubung penyelesaian perceraian mereka.
Pada 28 Disember tahun lalu, akhbar Corriere della Sera melaporkan keputusan mahkamah itu dengan Berlusconi diarahkan membayar jumlah tersebut kepada Veronica Lario yang dikahwininya pada 1990.
Ini adalah kali pertama Berlusconi mengeluarkan kenyataan terbuka tentang penyelesaian perceraian mereka. Namun, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada isterinya.
"Mereka mengarahkan saya membayar AS$260,000 sehari dan ini mendedahkan siapa sebenarnya hakim-hakim di Milan itu," kata Berlusconi dalam satu wawancara bersama saluran televisyen La7.
"Mereka ialah tiga hakim feminis dan komunis," tambahnya.
Dalam wawancara tersebut, Berlusconi mengulangi dakwaan sebelum ini bahawa ketiga-ketiga hakim Milan itu telah mendakwanya sejak beliau menceburi politik pada 1994 kerana menentang fahaman politiknya.
Pada Oktober tahun lalu, sebuah mahkamah di Milan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Berlusconi kerana menipu cukai dengan beliau merancang merayu hukuman tersebut.
Pemimpin berusia 76 tahun itu kini bertanding untuk penggal kelima dalam pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari depan.
Lario mengemukakan perceraian daripada bilionair itu pada 2009 selepas mendakwa beliau menjalinkan hubungan sulit dengan seorang gadis berusia 17 tahun.
Menurut Berlusconi, beliau kini merayu keputusan mahkamah berkenaan
Kredit: Kosmo
Penyebar berita palsu boleh didenda RM50,000 tu...
CYBERJAYA - Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, hukuman tersebut boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita palsu melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran berita palsu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang strok ringan.
Kredit : Kosmo
Kasihan.....Ferrari hangus sebelum dicuci
KAJANG - Seorang pemilik sebuah premis mencuci kereta tergamam apabila melihat sebuah kereta mewah jenis Ferrari 360 Spider bernilai lebih RM1 juta milik pelanggannya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Putera 3, Taman Putera, Kajang di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.25 malam itu berlaku beberapa minit selepas kereta mewah tersebut diletakkan di situ oleh pemiliknya untuk dicuci.
Namun belum sempat ia dicuci, wanita berusia lingkungan 30-an tersebut terkejut apabila mendapati kereta itu tiba-tiba terbakar menyebabkan kereta itu musnah.
Difahamkan, pemilik kereta itu merupakan seorang lelaki dan dia terselamat kerana telah keluar terlebih dulu sebelum kebakaran berlaku.
"Kami masih menunggu punca sebenar kejadian daripada bomba yang membantu menjalankan siasatan," kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.
Kredit: Kosmo
Harga sebenar Mat Yo
NILAI tebus kontrak penyerang Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo bakal terjawab hari ini.
Sedar isu tersebut semakin berlarutan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa satu sidang akhbar khas akan diadakan hari ini bagi menentukan jumlah sebenar nilai tebus kontrak Mat Yo.
Azzuddin memberitahu, mesyuarat itu bakal dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan.
"Biarlah pihak yang sepatutnya menjelaskan perkara itu dengan lebih tepat.
"Kita tunggu sahaja keputusan status Mat Yo esok (hari ini)," kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, isu tebus kontrak Mat Yo dengan bekas majikannya, Persatuan Bola Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilihat seperti tiada kesudahannya.
Selain Mat Yo turut menerima tempias ekoran isu terbabit, sudah tentu majikan baharunya, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Gara-gara isu tersebut, dua individu - Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim - tampil memberikan kenyataan kepada pihak media sejak beberapa minggu lalu.
Biarpun Mat Yo telah menjelaskan bayaran berupa draf bank berjumlah RM250,000 kepada KAFA, namun badan induk itu masih sangsi dengan tujuan pembayaran tersebut kerana tidak dinyatakan jenis pembayaran berkenaan.
KAFA menegaskan, ini kerana Mat Yo sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baharu.
Kelmarin, Annuar turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Mat Yo perlu melunaskan bayaran tidak kurang daripada RM1 juta.
Annuar berkata, jumlah tersebut adalah cukup relevan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk bayaran penamatan kontrak, yuran perpindahan dan pinjaman serta pelbagai insentif yang diberikan oleh KAFA.
Mat Yo menamatkan kontraknya dengan KAFA pada 1 November lalu iaitu 13 bulan lebih awal sebelum kontrak sebenarnya tamat.
Kredit: Kosmo
Honda UK umum model baharu MSX125
Honda UK mengumumkan ketibaan motosikal baharu dengan roda bersaiz kecil – Honda MSX125 (“Mini Street X-treme 125”). Motosikal mini-bike dengan sebahagian cirinya seperti motosikal biasa itu dikilangkan di negara Thailand, dan dikuasakan enjin empat lejang 125cc dengan sistem suntikan yang terbukti dan menjimatkan.
Menurut Honda, MSX125 mempunyai tahap ekonomi yang hebat dengan penghantaran kuasa dan tork yang lancar, juga menampilkan kotak gear empat kelajuan beserta klac. Seterusnya ia dilengkapi kerangka keluli yang kukuh, fork depan terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera hidraulik depan dan belakang, serta roda berprofail rendah 12 inci yang ringan.
Lotus buka pusat dan bilik pameran perdana di Malaysia, lancar dua model baharu Exige S dan Elise S
Lotus Cars Malaysia secara rasminya membuka pusat dan bilik pameran perdana pertamanya di Malaysia, yang berada di lokasi strategik di Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Bersempena dengan majlis pembukaan itu, Lotus turut memperkenalkan dua model baharunya untuk pasaran Malaysia, Lotus Exige S dan Elise S.
Majlis perasmian pembukaan tersebut telah dirasmikan oleh Penasihat Proton yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan diiringi oleh Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Eksekutif Proton. Lotus Group Plc merupakan anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad, syarikat automotif nasional yang ketika ini dimiliki oleh DRB-Hicom.
Menurut Lotus, pembukaan pusat dan bilik pameran perdananya di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan yang dirancang oleh DRB-Hicom, dengan jangkaan akan diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang. Pusat Lotus berkenaan bakal menawarkan pengalaman lengkap dengan kelengkapan bilik pameran, blok interaktif pelanggan dan pusat servis yang turut membolehkan pelanggan mendapatkan alat ganti untuk kereta Lotus mereka.
Mengenai kedua-dua model baharu yang dilancarkan, Lotus Exige S ditawarkan dalam dua varian iaitu roadster dengan harga RM452,030, sementara varian coupe dijual pada harga RM467,230. Lotus Elise S pula ditawarkan pada harga RM332,300. Setakat ini Lotus Cars Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual antara 100 ke 200 unit kereta Lotus di pasaran Malaysia.
Modenas GT128 ‘facelift’ terbaru-Sokong Buatan Malaysia
Masih lagi berita mengenai motosikal keluaran Modenas, kali ini saya paparkan sekali lagi dua keping foto model Modenas GT128 yang baru-baru ini telah menerima peningkatan ‘facelift’ dengan corak grafik terbaru.
Ramai ketika ini yang berada dalam dilema sama ada hendak membeli Honda Future atau Modenas GT128. Bagi saya kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing, cuma bagi yang mementingkan prestasi, GT128 adalah pilihan terbaik. Honda Future pula lebih kepada penjimatan.
Ramai ketika ini yang berada dalam dilema sama ada hendak membeli Honda Future atau Modenas GT128. Bagi saya kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing, cuma bagi yang mementingkan prestasi, GT128 adalah pilihan terbaik. Honda Future pula lebih kepada penjimatan.























































