Posted by : Jobseekers Jumaat, 21 September 2012


MINI telah memperkenalkan ahli keluarga terbaru di kalangan enam modelnya selepas Hatch, Clubman, Convertible, Countryman, Coupé dan Roadster. Dikenali dengan nama MINI Paceman, pelancaran model paling terkini itu di UK telah ditetapkan pada bulan Mac 2013.

MINI Paceman hadir dengan reka bentuk bagaikan coupé mengikut acuan depan model Countryman, di mana empat versi akan ditawarkan kepada pelanggan apabila ia tiba di bilik pameran secara rasmi mulai pertengahan tahun depan. MINI Cooper S Paceman dengan kepantasan 7.5 saat dari 0 ke 100 km/j antara model yang akan ditawarkan.

Dibangunkan di atas platform Countryman, model tiga pintu MINI Paceman ini mempunyai reka bentuk dan gaya unik di bahagian luaran, dengan ukuran panjang keseluruhan 4,109mm (4,115mm untuk MINI Cooper S Paceman dan Cooper SD Paceman), menjadikan saiznya hampir sama kepada saiz saudaranya.


Sungguhpun MINI Paceman merupakan sebuah model seakan-akan coupé, ia masih menawarkan empat tempat duduk tanpa mengabaikan ciri-ciri praktikal yang diperlukan. Ruang bagasi seluas 330 liter boleh ditingkatkan kepada 1,080 liter maksimum apabila kerusi belakang direbahkan, dengan akses mudah melalui bukaan ‘tailgate’ yang tinggi dan luas.

Pengendalian seumpama ‘go-kart’ akan menjadi sebahagian daripada ciri utama Paceman, dipertingkatkan oleh transmisi pacuan semua roda yang ditawarkan sebagai pilihan. MINI Paceman turut menawarkan sistem suspensi sport yang direndahkan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang cemerlang kepada pelanggannya.

Bermula dari hari pelancaran, para pelanggan Paceman akan diberi pilihan empat jenis enjin empat silinder berkuasa, dua petrol dan dua diesel. Kesemuanya didatangkan bersama kotak gear manual enam kelajuan, atau pilihan automatik enam kelajuan dengan fungsi kawalan manual Steptronic.


MINI Cooper Paceman dilengkapi enjin petrol 1.6 liter 122bhp yang menawarkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh 10.4 saat, tahap ekonomi bahan bakar 47.1mpg dan emisi CO2 hanya 140g/km. Enjin yang sama untuk MINI Cooper S Paceman dengan talaan 184bhp menawarkan pecutan 0 ke 100 km/j dalam tempoh 7.5 saat, dengan ekonomi bahan bakar 46.3mpg dan emisi CO2 143g/km.

Model diesel ‘flagship’ MINI Cooper SD Paceman pula akan mendapat enjin 2.0 liter 143bhp, dengan pecutan dari 0 ke 100 km/j direkodkan pada tempoh masa 9.2 saat. Tahap ekonomi bahan bakarnya ialah 61.4mpg, dengan kiraan emisi yang dikeluarkan hanya sekadar 122g/km.

Bagi pelanggan yang mahukan lebih cengkaman dengan sistem pacuan empat roda, sistem MINI ALL4 boleh didapati untuk model Cooper D, SD dan Cooper S Paceman. Bagi yang berhasrat memiliki sebuah model Paceman dengan kemampuan prestasi lebih tinggi, versi John Cooper Works telah disahkan sedang dalam proses pembikinan.


Antara ciri-ciri bantuan yang disediakan untuk pemandu termasuk Dynamic Stability Control (DSC) untuk semua model, sementara ciri Dynamic Traction Control (DTC) termasuk Electronic Differential Lock Control (EDLC) boleh didapati pada model MINI Cooper S Paceman, Cooper SD Paceman dan Cooper D Paceman ALL4.

Rim aloi ringan dalam saiz 16 inci dan 17 inci dibekalkan standard, dengan saiz 18 inci atau 19 inci tersenarai dalam pilihan yang ditawarkan.

Sistem ‘state of the art powertrain’ dan teknologi suspensi pada MINI Paceman dikahwinkan kepada sistem mesra alam MINIMALISM, yang mana sistem tersebut dilengkapkan standard. Sebahagian daripada sistem berkenaan termasuklah teknologi Auto Start/Stop, Shift Point Display, Brake Energy Regeneration dan ‘on-demand operation of ancillary units’, kesemuanya membantu menjimatkan penggunaan bahan bakar dan mengurangkan pelepasan emisi.


Sistem perlindungan cemerlang untuk penumpang meliputi penyediaan pelbagai peralatan keselamatan ekstensif termasuk beg udara depan dan sisi, dengan beg udara ‘curtain’ sisi dipasang dikedua-dua bahagian depan dan belakang. Sistem ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak tersedia di bahagian belakang dan amaran tekanan tayar merupakan ciri standard bagi semua model Paceman.

Kelengkapan standard lain termasuk penyaman udara, cermin pintu berkuasa dan kerusi depan sport. Pilihan popular termasuk Xenon Adaptive Headlights, Park Distance Control, bumbung kaca dengan operasi eletrikal, dengan tambahan sistem navigasi MINI. Fungsi info-hiburan termaju boleh didapati melalui sistem MINI Connected.

MINI Paceman menawarkan lapan warna luaran yang berbeza termasuk Brilliant Copper, Blazing Red dan warna unik yang belum pernah dilihat sebelumnya dan eksklusif untuk Paceman, Starlight Blue. Para pelanggan juga boleh membuat pilihan personalisasi tersendiri seperti mana kebiasaan yang ditawarkan oleh MINI sebelum ini.

MINI telah mengumumkan jualan Paceman di pasaran UK akan bermula dari 16 Mac 2013 dengan harga permulaan hanya £18,970 OTR.








Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -