Posted by : Jobseekers Rabu, 9 Januari 2013




SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkejut dan kesal dengan kenyataan Lim Guan Eng (gambar kecil) yang dipetik daripada media yang meminta kerajaan Pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Berikutan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu, baginda memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mufti Selangor serta pegawai tertinggi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari lalu.

Setiausaha MAIS, Datuk Mohd. Misri Idris berkata, baginda kemudian membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh digunakan di negeri ini oleh mana-mana agama bukan Islam.

Menurutnya, keputusan tersebut selaras dengan fatwa diwartakan pada 18 Februari 2010.

“Baginda pernah mengeluarkan titah yang sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga tahun lalu apabila isu ini pertama kali dibangkitkan.

“Tuanku kesal kerana titah baginda dipandang ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu sama dibangkitkan semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Misri memberitahu, baginda juga menitahkan mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi rakyat pelbagai agama.

Berikutan itu, katanya, baginda menitahkan MAIS dan JAIS untuk mengambil tindakan tegas terhadap orang bukan Islam atau orang Islam yang mempersoalkan atau memperlekehkan fatwa dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di negeri ini.

Jelasnya lagi, di Selangor ada undang-undang yang digubal Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah Allah iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Enakmen ini telah diwujudkan selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 9, Enakmen berkenaan dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara berkaitan dengan agama mereka.

“Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang ingkar,” ujarnya.

Sebarang penjelasan lanjut berkaitan fatwa dan undang-undang berkaitan kalimah Allah boleh layari laman web MAIS www.mais.gov.my.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, isu kalimah Allah dicetuskan semula oleh Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan Hari Krismas lalu apabila menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam Bible versi bahasa Melayu.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang meminta Guan Eng menarik balik kenyataannya.

Kredit : Kosmo


Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Perfume

ads

Popular Post

Blog Archive

Jangzintthereds. Dikuasakan oleh Blogger.

Pengikut

Pingster

Search Here

- Copyright © Havocder -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -